Tuesday, October 6, 2009

Manju....


Manju, nama sejenis kuih berasal dari negara matahari terbit, Jepun. Menyerupai kuih bahulu tetapi ianya sedikit basah dan berintikan kacang merah. Saya tertarik untuk menulis tentang seorang penjaja kuih ini dari kesempatan perbualan kami di Perhentian Bas Jalan Hamzah, Kota Bharu pada Ramadhan baru-baru ini.

Tertarik dengan bahan jajaan beliau, saya memanggil beliau dan bertanyakan apa yang dijualnya. "Kuih Manju...orang sini panggil kuih Doremon!" jawab beliau sambil tersenyum. Memang betul, di Kelantan kuih ini juga terkenal dengan nama kuih "Doraemon" kerana kuih ini menjadi hidangan istimewa di dalam siri kartun Jepun yang menarik minat ramai terutamanya kanak-kanak sejak disiarkan beberapa tahun yang lalu.

Manju juga merupakan kuih kegemaran rakyat Jepun.


"Berapa ringgit Pak Cik?", tanya saya. " 2 riyal(ringgit) sebungkus". 6 biji kuih sebungkus...hhmmm..harga yang berpatutan. Saya ajak pakcik itu duduk di bangku menunggu di perhentian bas tersebut.

"Pakcik buat sendiri ke kuih ni?", saya memulakan perbualan. Namanya Hj. Ab Ghani Bin Ahmad. Berasal dari Kota Bharu dan sekarang ini tinggal di Bandar Baru Kubang Kerian, lebih kurang 6 km dari perhentian bas ini. "Dah berapa lama pakcik menjaja disini?" tanya saya lagi. "15 tahun", jawabnya. Lama tu, bisik hati saya.

"Pakcik belajar buat kuih ni di Jepun", sambung beliau sambil tersenyum. "Betul ke?", timbul keseronokkan untuk saya bertanya lagi, "Bila tu?". Pakcik Ghani mula bercerita. Pada tahun 1938, dia telah bekerja dengan sebuah syarikat Jepun. Semasa itu umurnya baru 17 tahun. Dia telah dihantar bertugas di Jepun.

Semasa bertugas di sana, Manju telah menjadi kuih kegemaran beliau kerana menyerupai kuih bahulu Melayu. Setelah menjadi rapat dengan penjual kuih tersebut, beliau bertanya jika dapat belajar membuatnya. "Selama 2 tahun 8 bulan pakcik menjadi hamba kepada Jepun tu!", katanya sambil ketawa, "pakcik buat, dia jual, sampai kuih yang pakcik buat tu sama kualiti dan rasa macam yang dia buat". Selepas beberapa tahun, ayah beliau telah mengirim surat menyuruhnya pulang ke tanahair kerana telah lama berada di Jepun. Beliau akur dan bekerja di Singapura sekitar tahun 1943 setelah pulang.

"Panjang umur pakcik, terima kasih pada ayah", katanya. "Kalau ayah tak suruh balik mungkin dah lama mati kena bom!", mengimbau kembali kenangan Nagasaki dan Hiroshima yang hancur pada tahun 1945 akibat serangan bom atom Amerika. "Pakcik boleh cakap Jepun lagi ke?" tanya saya. "Sikit-sikit. Banyak yang dah tak ingat sebab dah berpuluh tahun tak cakap Jepun," sambil tersenyum.

Beliau terus bercerita, "Dulu pakcik buat besar-besaran juga kuih Manju ni, ada kilang dan pekerja sendiri". Setelah perniagaannya menjadi sedikit lembab, beliau telah menutup kilangnya dan berhijrah ke Mekah pada awal 1970an dan membuka kedai makan disebelah Masjidil Haram. "Sekarang ni takda dah kedai-kedai tu, habis diruntuh", katanya.

Memang betul, sekarang ini di bandar Mekah, terutamanya disekitar Masjidil Haram sedang mengalami pembangunan yang pesat. Semua bangunan lama telah diruntuhkan dan sedang dibina semula dengan yang baru dan moden. "Dekat 20 tahun juga pakcik tinggal di sana. Seronok..dapat buat haji setiap tahun. Ramai peniaga kat situ orang dari sini, Patani dan Indonesia," cerita beliau lagi. Rindukan keluarga dan kampung halaman, beliau menjual kedainya dan pulang ke Kelantan pada awal 1990an.

"Balik sini pakcik sambung jual kuih Manju lah ye? Anak-anak pakcik tak minat nak jual ke?" tanya saya. "Buat sendiri. Anak-anak mana nak buat kuih ni. Dia orang semua dah berjaya dengan kerja dan perniagaan sendiri,". Anak-anak Pakcik Ghani ada yang telah melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti di England (Manchester) dan Amerika. "Saya ada jumpa orang lain yang jual kuih ni. Dia buat sendiri ke?" tanya saya. "Kebanyakkan mereka tu dulu pekerja pakcik," jawab Pakcik Ghani. Bermakna ada jugalah orang yang mewarisinya tetapi bukan dari keluarga beliau.

Saya meminta kebenarannya untuk mengambil gambar beliau dan dengan senang hati memberikan satu pose istimewa.

Saya mengucapkan terima kasih kerana beliau telah berkongsi ceritanya. "Kalau nak kuih Manju, telefon lah pakcik ya," katanya lagi. "Insyaallah!", balas saya. Kami bersalaman dan beliau berlalu untuk meneruskan jajaannya. Dari jauh saya melihat kelibat Pakcik Ghani menjaja Manjunya tanpa segan silu. Memang beliau seorang warga emas yang kuat semangat.

Pada umur beliau, agak saya dalam lingkungan 88 tahun, seorang yang tabah menghabiskan sisa hidupnya tanpa mengharap belas kasihan orang lain walaupun daripada anak-anaknya sendiri.

"Dengan apa Pakcik Ghani datang? Bas? Basikal? Jalan kaki?", tiba-tiba terdetik perasaan ingin tahu saya. Sambil mencari, terkejut saya apabila nampak kelibat warga emas ini menaiki kereta dan memandu dengan segak bak orang muda.........

......keretanya Proton Satria Neo!

Ketabahan warga emas ini dapat mengajar kita erti kehidupan sebenar. Bukan muda atau tua.

Ilmu itulah penyuluh buat kita semua untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna.

Gambar & teks oleh: Raziff Lokman

12 comments:

iDAN said...

Tuan Haji Ghani ini nampak segak biar pun telah berusia 80an. Pengalaman hidupnya pun banyak boleh kita kongsi jika rajin mencungkilnya.

Pasti anak-anaknya bangga punyai seorang ayah yang begitu tabah & rajin mencari rezeki. Berniaga sememangnya menjanjikan pulangan lumayan.

Saya tak pernah rasa kuih Doraemon ini, pasti ianya lebih sedap jika yang membuatnya mendapat kemahiran dari asal negaranya. Sebaiknya ada pihak yang dapat membantu Tuan Haji Ghani ini memasarkan kuih Doraemonnya.

Peeka Syuhada said...

sedap !!! baru lepas mkn wat pertama kalinya . heee~~~~ google nama kuih, then jumpe ur blog . (:

Raziff Lokman... said...

...mmg sedap. Byk yg membuat & menjual di sekitar KB tapi tk sebaik yg Hj Ghani punya... sejak stesyen bas Jln Hamzah dipindahkan, saya tk nampak lagi kelibatnya...

eiM said...

macam sedap jer.. tringin nak rase..tp ade org jual ke kat kl..? hurmm...

Unknown said...

nama kuih ni kuih jepun. bila masa tukar nama jadi kuih doraemon tak tahu pulak la saya. saya selalu makan masa kecik kecik dulu. kat Kota Bharu ada lagi dijual cuma kena mencari la sikit.
masa saya pergi Hiroshima tahun 2005 abg saya yg dok sana bwk saya pergi tempat bersejarah di Pulau Miyajima. dia dok cerita ada satu kuih tradisional yg sangat sedap. saya pun beli, sekali tengok macam kuhi jepun kelantan. tapi senyap dulu. lepas kena semulut memang sah kuih jepun. rasanya? 10 kali lebih sedap dari yg dibeli di Kota Bharu.
kat KL ada org buat kuih macam ni tapi namanya kuih apam jepun . rasanya tak sama dengan kuih ni, ia lebih kepada dorayaki.

Unknown said...

Kat mna nk dapatkan kueh ni akak nk jual

Unknown said...

Kat mna nk dapatkan kueh ni akak nk jual

Mellisa Azlan said...

Suka sgt kuih ni..sy ada no hp pakcik ni .dia jual area kubang kerian..

Mellisa Azlan said...

Suka sgt kuih ni..sy ada no hp pakcik ni .dia jual area kubang kerian..

Mellisa Azlan said...

Suka sgt kuih ni..sy ada no hp pakcik ni .dia jual area kubang kerian..

Unknown said...

pakcik ni la kot yg sy jumpa dia meniaga d stsyen bas Tesco Kota Bharu pukul 5am tahun lepas..sempat bersembang dgn dia, kesihan melihatnya... sampai terlelap sambil duduk atas bangku, lihat pada susuk tubuhnya pun bukan segagah dlm gambar ni dah pakcik tu T_T kesihan dia..Ya Allah Kau permudahkan la urusan pakcik ni

Unknown said...

Assalamualaikum tt blh sy dapatkan ni tel pkcik ni?? Kalo ada lg..tingin nk rs..tp post dh lma ni entah ada lg tidak pkcik ni yer😖